Selamat sejahtera.
Sebagai guru Bahasa Tamil dan Penolong Penasihat Persatuan Bahasa Tamil SEMEKAR, saya ingin menyampaikan beberapa perkara yang perlu mendapat renungan.
Baru-baru ini, saya menerima beberapa surat dari ibubapa yang meminta anak mereka dikecualikan dari kelas Bahasa Tamil. Ada juga beberapa orang pelajar yang berjumpa dengan saya, untuk tujuan yang sama. Kebanyakan pelajar ini terdiri dari pelajar-pelajar India yang memulakan persekolahan asas di sekolah kebangsaan. Ada juga pelajar-pelajar yang ponteng dari kelas ini. Kes-kes ponteng seperti ini sukar dikesan kerana dua faktor. Pertama, pelajar-pelajar India dari 6 buah kelas perlu bergabung dan sukar untuk mengesan pelajar yang tidak hadir. Kedua, tidak ada bilik darjah khas untuk menjalankan pengajaran secara tetap. Setiap kali, kita kena tercari-cari bilik darjah yang kosong sebelum memulakan kelas.
Saya ingin mengupas kepentingan menyertai kelas Bahasa Tamil di sini.
1. Bahasa Tamil adalah bahasa umum di kalangan masyarakat India yang berfungsi untuk menyatu-padukan kita. Kebenaran yang diberi oleh pihak sekolah untuk aktiviti pembelajaran Bahasa Tamil, membuka peluang untuk kita berkumpul. Ini merupakan asas kepada kita untuk bersatu-padu. Apabila pelajar Melayu atau Islam berkumpul untuk mempelajari hal-hal agama mereka, pelajar Cina berkumpul untuk mempelajari bahasa Cina, tindakan pelajar India yang cuba memencilkan diri dari masyarakat sendiri sama seperti perbuatan kera sumpang.
2. Perhatikan fakta ini: Masyarakat Melayu hanya perlu berutus dalam Bahasa Malaysia untuk menyampaikan maklumat kepada ahli masyarakat mereka. Masyarakat Cina hanya perlu berutus dalam Bahasa Mandrin untuk tujuan yang sama. Dalam masyarakat India pula, kita tidak boleh bergantung kepada mana-mana satu bahasa untuk tujuan yang sama. Apabila Bahasa Tamil diguna, ada ahli masyarakat kita yang tidak boleh memahaminya. Apabila Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia pula diguna, maklumat itu masih tidak dapat disampaikan kepada sebilangan masyarakat India. Jadi, kita terpaksa berdepan dengan krisis bahasa untuk berkomunikasi sesama kita.
3. Sambungan dari perkara nomber 2 di atas, pelajar perlu sedar bahasa hanya Bahasa Tamil sahaja yang boleh digunakan secara berkesan dalam beberapa aspek kehidupan kita, lebih-lebih lagi dalam hal-hal keagamaan dan nilai-nilai kemasyarakatan. Kita perhatikan bahawa generasi muda sekarang ini tidak boleh menyanyi dan memahami lagu-lagu Thevaram secara berkesan. Ekoran dari fenomena ini, kepincangan nilai-nilai sosial amat ketara di kalangan kita. Ramai individu sudah mula ‘membrontak’ menentang nilai-nilai sosial ini kerana daif dengan bahasa sendiri. Satu contoh yang terlintas di fikiran saya ialah, peribahasa Tamil yang meminta para isteri supaya terikat dengan suami mereka walau apapun sifatnya. Apabila sahaja peribahasa ini disebut, beberapa wanita India memberi reaksi yang negatif. Ini hanya satu contoh yang menunjukkan kesan kedaifan masyarakat India terhadap bahasa mereka sendiri.
4. Apabila sahaja kita cuba mengajar Bahasa Tamil, kedengaran suara dari kalangan pelajar India yang berasal dari Sekolah Kebangsaan yang mereka tidak tahu Bahasa Tamil. Ini hanya menunjukkan sifat tidak bertanggung-jawab pelajar-pelajar itu dan ibubapa mereka. Peluang dibuka kepada pelajar India di Sekolah Kebangsaan untuk mempelajari Bahasa Tamil. Para ibubapa India perlu berusaha untuk mendesak pentadbiran sekolah jika kelas Bahasa Tamil masih tidak dimulakan oleh sekolah tersebut. Selain itu, mereka juga perlu memastikan anak-anak mereka hadir ke kelas tersebut yang selalunya dijalankan pada hari Jumaat selepas pukul 12.00 pm.
5. Tidak dinafikan bahawa peluang pekerjaan yang wujud berdasarkan kepada pengetahuan Bahasa Tamil amat sempit. Tetapi, adalah perlu untuk disedari bahawa bahasa ini kaya dengan nilai-nilai dan keindahan hasil dari karya-karya agong seperti Thirukural, Silappathigaaram, Ceyyul dan sebagainya. Ilmu ini memberi kepuasan dan ketenangan kepada seseorang . Manusia mempunyai jiwa yang perlu diisi dengan kepuasan dan ketengan ini. Mengejar ilmu semata-mata untuk kekayaan duniawi hanya menghasilkan ‘manusia’ yang kehilangan modal kejiwaan.
6. Ada pelajar yang berasal dari Sekolah Kebangsaan bimbang kerana markah Bahasa Tamil yang merosot boleh menjejaskan markah keseluruhan dan memberi kesan untuk penempatan mereka ke kelas yang lebih baik. Ini adalah satu lagi perkara yang sungguh malang. Pelajar-pelajar ini hanya diajar Bahasa Tamil yang standardnya sama dengan darjah dua. Lebih-lebih lagi, hanya perkara yang sudah diajar dan dilatih sahaja yang ditanya balik dalam peperiksaan. Anda boleh semak balik soalan-soalan tersebut dan anda akan mendapati bahawa ia adalah apa yang sudah diajar dan dilatih dalam kelas. Apakah yang hendak dikatakan kepada pelajar-pelajar ini jika mereka kecut dengan peperiksaan yang begitu mesra dengan mereka? Lebih-lebih lagi ramai pelajar Sekolah Kebangsaan yang mencapai marakah yang lebih tinggi dari pelajar-pelajar Sekolah Tamil yang mencapai 7A dalam UPSR.
Akhir sekali, renungilah Muthurai ini:
நன்றி ஒருவர்க்கு செய்தகால் – அந்நன்றி
என்று தருங்கோல் என வேண்டாம்,
நின்று தளரா வளர்தெங்கு,
தாளுண்ட நீரை தலையால் தருதலால்.
Maksud Muthurai ini, apabila kamu menghulurkan bantuan kepada seseorang, janganlah kamu harapkan balasannya. Pohon kelapa yang menyedut air yang disiram (dari akar) oleh tuannya, memulangkannya melalui air kelapa (melalui kepalanya). Air kelapa ini sangat manis dan menghilangkan rasa dahaga.
Anggaplah peribahasa ini sebagai salah satu cabaran kepada fikiran kamu yang cetek. Anda sebenarnya menutup mata dan telinga kamu kepada nilai-nilai ilmu yang tidak ternilai.
Akhir sekali, jika anda mendapat surat ini, buatlah salinan banyak-banyak dan edarkanlah kepada sesiapa sahaja saudara sebangsa kamu. Ini akan membantu saudara kamu supaya membuang tanggapan negatif terhadap BAHASA YANG MERUPAKAN JIWA BANGSA KITA.
Sekian,
V.B. JOHNSON